Monday, November 22, 2010

Sains dan Teknologi


Pengalaman terbang bersama NASA

 Sumber: Utusan Malaysia 22/11/2010

SELEPAS kejayaan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), seorang lagi anak tempatan melakar sejarah membanggakan di dalam bidang sains angkasa.
Saintis tempatan di Amerika Syarikat (AS), Dr. Amani Salim, 32, baru-baru ini menjadi rakyat Malaysia pertama mengikuti penerbangan graviti sifar melalui program di bawah tajaan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).
Penyertaan Amani di dalam program penerbangan Persekitaran Angkasa Untuk Teknologi (FAST) itu merupakan sebahagian daripada penyelidikan kumpulannya dari Universiti Purdue terhadap tindak balas antara sel tumbuhan terhadap graviti yang diubah.
Amani yang bertugas sebagai penyelidik di universiti itu pada 27 September lalu menyertai beberapa siri penerbangan parabolik yang memberikan pengalaman tanpa graviti seperti berada di angkasa lepas.
Beliau berkata, penerbangan pesawat Zero-Gravity dari lapangan terbang Ellington Field di Texas mensimulasikan persekitaran graviti yang dikurangkan dengan melakukan penerbangan secara turun naik (parabolik).
Penerbangan yang dikongsi bersama beberapa kumpulan penyelidik lain itu terbang pada ketinggian kira-kira 10,300 meter sebelum menjunam untuk menghasilkan keadaan tanpa berat seperti berada di angkasa lepas.
Menurut Amani, sensasi terapung bebas di dalam pesawat Boeing 727 itu dirasakan selama kira-kira 30 saat setiap kali pesawat terbang menjunam.
"Untuk mendapatkan keadaan tanpa graviti seperti itu secara berulang-ulang, pesawat harus terbang mencapai ketinggian kira-kira 10 batu dari bumi sebelum menjunam semula.
"Penerbangan secara turun naik yang dilakukan seperti pergerakan rollercoaster itu dinamakan penerbangan parabolik," katanya ketika dihubungi penulis, baru-baru ini.
Pada program penerbangan di bawah kendalian dan kontrak NASA itu, Amani dan pasukan diketuai oleh Penyelidik Prinsipal Univerisiti Purdue, Dr. Marshall Porterfield.
Ujar beliau, objektif utama penyelidikan adalah untuk menguji makmal pada sebuah cip (elektrofisiologi sel atau biocip) serta peralatan-peralatan yang berkaitan dengan persekitaran graviti boleh berubah.
Sebahagian daripada kajian yang dilakukan sepanjang penerbangan yang ditaja sepenuhnya oleh NASA itu termasuk eksperimen ke atas mekanisme deria graviti bagi spora tumbuan paku pakis yang memberikan rujukan penting kepada sistem tanaman.
"Kajian yang dilakukan baru-baru ini itu diharap dapat dijadikan persediaan untuk penyelidikan kami pada masa akan datang," ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu.
Selain itu, penyelidikan turut mengkaji pemanfaatan sumber daya di bulan dan pemantauan prestasi manusia pada persekitaran graviti mikro.
Amani yang merupakan penyelidik pasca-siswazah di Fakulti Pendidikan Kejuruteraan dan Pusat Nanoteknologi Birck, Universiti Purdue menyifatkan pengalaman yang dilalui sebagai suatu yang cukup berharga.
"Kumpulan kami bertuah kerana dipilih untuk mengikuti dan melakukan penyelidikan di ruang graviti sifar bersama beberapa angkasawan NASA dan penyelidik lain.
"Untuk merebut peluang itu, kami terpaksa bersaing dengan lebih 40 kumpulan penyelidik dari universiti terhebat di dunia," katanya yang menetap di Amerika Syarikat sejak 14 tahun lalu.
Jelas Amani lagi, persaingan antara kumpulan penyelidik untuk mendapatkan peluang mengikuti penerbangan parabolik sememangnya sengit.
"Permohonan bermula dengan penilaian pihak NASA terhadap potensi kajian yang dilakukan dan sumbangannya kepada sains,''ujarnya.
Tambah beliau, sebahagian daripada kenangan yang tidak dapat dilupakan semasa menghadapi penerbangan penting itu adalah ketika 'mengubahsuai' bilik hotel menjadi makmal sementara.
"Kumpulan kami terpaksa menghalang pekerja hotel daripada mengemas bilik kami kerana segala peralatan yang kami ada sangat 'mencurigakan," selokanya.
Di antara kumpulan lain yang turut melakukan penyelidikan bersama NASA pada program itu termasuk wakil universiti dan perusahaan kecil dari Massachusetts, New York, Maryland, Florida, Ohio, Indiana, Texas dan California.
Amani yang memegang Ijazah Doktor Falsafah dalam jurusan BioMEMS dan Mikroelektronik memberitahu, penerbangan graviti sifar itu merupakan sebahagian daripada program FAST yang dimulakan NASA sejak tiga tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

WWW.LISTEN2QURAN.COM