Wednesday, June 22, 2011

RUMAH YANG TIDAK DIMASUKI MALAIKAT RAHMAT

 




Antara ciri-ciri rumah yang tidak dimasuki malaikat ialah:
1) Orang yang memutuskan atau tidak menghubungkan silahturahim
            -Punca memutuskan silahturrahim
                     a) Sifat-sifat manusia antaranya tamak, dendam dan hasad dengki
2) Anak-anak yang derhaka kepada ibu bapa
3) Penghuninya akan berasa tidak tenang dan tidak ada keberkatan dalam rumah tersebut
4) Penghuni rumah memelihara anjing
5) Rumah yang ada patung (patung yang boleh ditiupkan roh didalamnya contohnya patung manusia dan haiwan)

Kelebihan
1) Malaikat rahmat akan mendoakan kesejahteraan penghuni dan memohon agar di ampunkan dosanya oleh Allah

Sumber: Tanyalah Ustaz, Rabu 22/6/2011 Jam 7am

Thursday, January 20, 2011

Takwa, ingat mati jadikan Muslim istiqamah jalani kehidupan

FIRMAN Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Surah Ali Imran, ayat 102)

Ibnu ‘Abbas menyatakan orang bertakwa adalah mereka yang sentiasa mengingati seksaan Allah apabila meninggalkan perintah-Nya, oleh itu mereka akan melaksanakan perintah itu dengan penuh kepatuhan dan mengharapkan keredaan Allah.
Saidina Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab pengertian takwa. Lantas Ubay mengajukan soalan kepada Umar kembali dengan berkata: Pernahkah tuan melalui jalan penuh berduri? Jawab Umar: Tidak pernah.
Ubay memberikan penjelasan: Sudah tentu kita mengelak daripada terpijak duri apabila kita melalui jalan itu. Begitulah makna takwa, kita mengelakkan diri dari melampaui batasan Allah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Bertakwalah kamu di mana saja kamu berada, iringilah setiap perbuatan dosa dengan amalan kebaikan yang akan memadamkan dosa itu dan pergaulilah manusia dengan akhlak terpuji.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Tafsiran takwa Saidina Ali Abi Talib ialah takutkan Allah semata-mata, beramal serta beristiqamah dengan segala perintah-Nya, reda dan merasa cukup dengan keadaan sedikit serta bersiap sedia setiap masa menghadapi kematian.

Dapat disimpulkan takwa adalah pemantapan akidah yang ikhlas kepada Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebut kalimah tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dengan ikhlas, nescaya dia dapat masuk syurga.”
Kemudian Baginda SAW ditanya: “Apa maksud ikhlas itu? Lantas Baginda SAW menjawab: Iaitu kamu memelihara diri kamu daripada melakukan larangan Allah.” (Hadis riwayat Tabarani)

Sifat takwa sering dikaitkan sebagai sifat mukmin berjaya dan berbahagia di akhirat. Keimanan Muslim yang jitu terhadap Allah membentuk peribadi Rabbani dan terpelihara hala tuju hidupnya.

Orang beriman sebenarnya tidak sabar menghuni alam syurga yang penuh kenikmatan. Oleh itu, antara pesanan Rasulullah SAW kepada umatnya dalam menelusuri titian hidup ialah sentiasa mengingati mati.

Pesanan itu bukan bertujuan meninggalkan terus urusan keduniaan kerana Islam menyeru umatnya membangun akhirat seimbang dengan pembangunan duniawi.

Membangun keduniaan dengan bermodalkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah sebenarnya dituntut Islam. Sesiapa yang sentiasa mengingati mati dianggap sebagai orang paling bijaksana dalam kalangan orang mukmin.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang paling bijaksana dalam kalangan kamu ialah orang yang sentiasa menghitung dirinya serta beramal sebagai persediaan untuk menghadap Allah selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW turut menggalakkan umatnya memperbanyakkan mengingati mati: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Hadis riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)

Muslim yang mengingati mati sentiasa menginsafi dirinya dan menyedari Allah Maha Memerhati serta Mengawasi setiap gerak gerinya sama ada pada waktu terang mahupun sunyi. Mengingati mati mengurangkan panjang angan-angannya, menjauhkan fitnah dunia dan membersihkan hati dari sifat sombong dan tamak.

Seterusnya, mengingati mati dapat menjadikan seseorang Muslim itu mempunyai wawasan hidup duniawi dan ukhrawi yang jelas, mempunyai semangat waja dan beristiqamah menelusuri titian hidup penuh pancaroba dengan sentiasa bergantung harap kepada Allah.

Sumber: Berita Harian 20 Jan 2011
Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Tuesday, December 28, 2010

Amalan kebaikan walaupun remeh tetap dinilai

Oleh Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid

2010/12/27

HIDUP ini harus dipenuhi dengan amal salih dan meninggalkan semua amal jahat kerana itulah sifat sebenar mukmin. Islam mengajarkan segala perbuatan baik dilakukan dengan ikhlas sama ada besar atau kecil, sedikit atau banyak tetap dinilai oleh Allah SWT dan tersedia baginya ganjaran pahala.

Allah SWT menggalakkan kita berlumba mengerjakan kebaikan dengan tidak menetapkan nilai atau ukurannya seperti firman-Nya bermaksud: “Maka berlumbalah kamu (dalam membuat) kebaikan.” – (Surah al-Baqarah, ayat 148)
Adakalanya kebaikan itu mungkin kecil pada pandangan manusia, tetapi nilainya besar pada pandangan Allah.
Memberi senyuman tidak kira kepada siapa pun ketika bertemu mungkin dianggap perkara kecil atau remeh tetapi senyuman ikhlas yang diberikan itu mempunyai nilai sedekah kerana menimbulkan kegembiraan orang lain, mengeratkan ukhuwah sesama Muslim.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan senyuman).” – Hadis riwayat Muslim)

Mengukir senyuman adalah kebaikan yang tidak memerlukan modal, namun ganjarannya besar dan begitu memberi kesan positifnya dalam kehidupan bermasyarakat.

Lihatlah, berapa banyak restoran yang laris jualannya dan memikat ramai pengunjung kerana keramahan dan senyuman pemilik serta pelayannya berbanding restoran yang memberi layanan tidak mesra.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira) dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia.” – (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini mengisahkan seorang lelaki melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu.

Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat besar iaitu syurga penuh kenikmatan.

Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredaan Allah. Mungkin rahmat dan reda Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan.

Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan reda Allah SWT.

WWW.LISTEN2QURAN.COM