Tuesday, December 28, 2010

Amalan kebaikan walaupun remeh tetap dinilai

Oleh Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid

2010/12/27

HIDUP ini harus dipenuhi dengan amal salih dan meninggalkan semua amal jahat kerana itulah sifat sebenar mukmin. Islam mengajarkan segala perbuatan baik dilakukan dengan ikhlas sama ada besar atau kecil, sedikit atau banyak tetap dinilai oleh Allah SWT dan tersedia baginya ganjaran pahala.

Allah SWT menggalakkan kita berlumba mengerjakan kebaikan dengan tidak menetapkan nilai atau ukurannya seperti firman-Nya bermaksud: “Maka berlumbalah kamu (dalam membuat) kebaikan.” – (Surah al-Baqarah, ayat 148)
Adakalanya kebaikan itu mungkin kecil pada pandangan manusia, tetapi nilainya besar pada pandangan Allah.
Memberi senyuman tidak kira kepada siapa pun ketika bertemu mungkin dianggap perkara kecil atau remeh tetapi senyuman ikhlas yang diberikan itu mempunyai nilai sedekah kerana menimbulkan kegembiraan orang lain, mengeratkan ukhuwah sesama Muslim.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan senyuman).” – Hadis riwayat Muslim)

Mengukir senyuman adalah kebaikan yang tidak memerlukan modal, namun ganjarannya besar dan begitu memberi kesan positifnya dalam kehidupan bermasyarakat.

Lihatlah, berapa banyak restoran yang laris jualannya dan memikat ramai pengunjung kerana keramahan dan senyuman pemilik serta pelayannya berbanding restoran yang memberi layanan tidak mesra.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira) dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia.” – (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini mengisahkan seorang lelaki melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu.

Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat besar iaitu syurga penuh kenikmatan.

Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredaan Allah. Mungkin rahmat dan reda Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan.

Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan reda Allah SWT.

Monday, December 20, 2010

KENALI INSURANS

SECARA ringkasnya, perbincangan hukum insurans dibincangkan dengan panjang lebar oleh ulama, terutama di kalangan ulama Asia Barat.
Oleh kerana sistem insurans adalah ciptaan yang dikira baru menurut zaman, iaitu sekitar 1666 di London, ia hanya menembusi dunia Islam Arab sekitar 1830.

Insurans konvensional adalah kontrak perniagaan yang termasuk dalam Kontrak Pertukaran Kewangan (‘Uqud Mu’awadat Maliah).

Ia mewajibkan syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada pencarum insurans apabila berlaku beberapa jenis kemalangan atau musibah yang ditentukan di dalam kontrak (aqad) bersesuaian dengan kadar tertentu. Ia juga bergantung kepada jumlah caruman pencarum.


Kontrak insurans ini mengandungi ciri-ciri berikut:
1. Reda antara kedua-dua pihak (iaitu syarikat insurans dan pencarum). Ia ibarat kontrak perjanjian yang lengkap dan mengandungi aspek ‘ijab dan kabul’.
2. Pihak yang memberi insurans, iaitu pihak syarikat insurans.
3. Pencarum, iaitu individu yang membayar jumlah tertentu dan yang membuat perjanjian dengan syarikat insurans.
4. Pihak yang menerima manfaat, iaitu seperti anak kepada individu atau isteri dan lain-lain.
5. Kebahayaan atau musibah. Merangkumi jenis musibah atau kemalangan yang diandai serta ditentukan di dalam kontrak seperti kecurian, kebakaran, kecederaan dan kematian.

Bentuk insurans adalah seperti insurans terhadap musibah menimpa tubuh, insurans nyawa, insurans harta dan pecahannya (kereta, motosikal, rumah dan lain-lain), insurans kemalangan jalan raya, insurans kerja dan sebagainya.

Bagaimanapun, ada beberapa sebab yang menjadikan insurans konvensional haram kerana ia turut ‘diselubungi’ riba.

Ia adalah perbincangan ‘ilmiah’ dan memerlukan ‘basic knowledge’ tertentu yang kukuh untuk memahaminya dengan sempurna.

Bagaimanapun, penulis akan cuba memudahkan dalil ini demi memberi kefahaman sebaik mungkin di kalangan pembaca.

Selebihnya pembaca perlu melakukan kajian dan rujukan kepada ilmuan
Takhassus Fiqh di universiti bagi mendapatkan penjelasan lebih terperinci.

Demi mendapat kefahaman sepenuhnya dalam bab ini, pembaca mesti mempunyai ilmu asas berikut:
1. Pembahagian kepada Aqad Mu’awadat (Pertukaran) & Tabarru’ah (Derma atau Sumbangan).
2. Riba dan pembahagiannya.
3. Syarat jual beli dalam Islam.

Menurut majoriti kumpulan ilmuan dan ulama Islam, insurans konvensional adalah haram kerana wujud unsur riba yang jelas di dalamnya.

Ini kerana, riba jelas wujud apabila syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada si pencarum yang terkena musibah.

Ia dianggap riba kerana wang (daripada pencarum) berbalas wang (daripada syarikat) dengan jumlah berbeza, padahal wang adalah unsur ‘ribawi’ (usurious items) sebagaimana enam unsur disebutkan Rasulullah SAW di dalam hadisnya.

Rasulullah SAW mensyaratkan dengan jelas, apabila ‘bermu’amalah’ di antara dua unsur ribawi yang sama jenis (contoh di sini adalah wang daripada pencarum dengan wang daripada syarikat insurans), ia mestilah terikat dengan syarat:
1. Sama Nilai (mathalan bi mathalin).
2. Diserahkan ketika mu’a- malah dilakukan. (Yadan diyadin)

Syarat ini bersumber hadis Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Jangan kamu menjual emas dengan emas kecuali bersamaan nilaian dan timbangannya, jangan kamu melebihkan satu daripadanya di atas yang lain.

“Jangan kamu menjual emas dengan pulangan emas atau perak dengan pulangan perak kecuali (mestilah ia) dalam timbangan dan nilaian sama.”

Maka, setiap perbezaan nilai (dalam unsur ribawi) dianggap Riba al-Fadl yang diharamkan (Tahrim Wasail).

Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza, maka berlakulah Riba al-Fadl. Ini kerana tidak wujud kesamaan nilai dalam urusniaga dua unsur ribawi itu.

Pembayaran yang bertangguh dalam dua barangan Ribawi adalah Riba An Nasi’ah yang diharamkan secara jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Dalam hal insurans, sudah tentu berlaku penangguhan, iaitu apabila pencarum terkena musibah, baru akan dibayar jumlah tertentu.

Prof Dr Muhd Baltaji (ulama besar di Universiti Al- Qaherah - sudah meninggal dunia) menjelaskan, kontrak insurans sama sekali tidak boleh lari daripada Riba An-Nasi’ah.

Beliau juga menegaskan, mana-mana hujah untuk lari daripada anggapan riba ini adalah helah yang tidak sah menurut pandangan syarak.

Justeru, insurans berkenaan mempunyai unsur kedua-dua jenis riba seperti dinyatakan.

Walaupun ada kalanya pencarum tidak berniat mencari keuntungan daripada carumannya, bahkan hanya untuk berasa lebih selamat terhadap keretanya, rumahnya, ahli keluarganya dan sebagainya, tetapi ia tetap dianggap riba.

Zahir urus niaga insurans tadi cukup untuk dikategorikan sebagai riba, walaupun maksudnya tidak selari dengan riba yang sebenarnya (iaitu mencari untung).

Dalam berapa banyak kes, pasti kita mendengar ada individu sengaja membakar kilangnya akibat perniagaan yang rugi atau pembunuhan ahli keluarga untuk mendapatkan wang insurans bernilai jutaan ringgit.

Riba juga boleh berlaku dengan sangat jelas apabila wang caruman itu diperniagakan oleh syarikat insurans konvensional di dalam syarikat lain dengan kadar faedah tetap yang diharamkan (biasanya di bank konvensional, bukan secara mudharabah) atau mana-mana syarikat yang bermu’amalah secara riba. Berlakulah pertambahan wang caruman tadi hasil simpanan wang berkenaan.

Malah, keadaan lebih teruk jika syarikat insurans meletakkan wang itu di dalam syarikat yang melakukan urusniaga haram seperti arak atau perjudian.

Kesimpulannya, insurans konvensional itu menjadi haram kerana ‘akad’ yang diubah itu tadi.

Insurans konvensional menggunakan akad pertukaran milik harta (Aqad Mu’awadat Maliah) yang dikira sebagai akad jual beli.

Sebagaimana perlu kita fahami, akad jual beli memerlukan penjelasan dalam urusan membabitkan penjual, pembeli, benda yang dijual dan nilainya.

Dalam konteks insurans konvensional, ia boleh diibaratkan seperti berikut, iaitu syarikat insurans mempunyai masalah dalam urusan benda yang dijual.

Ini kerana apabila si pembeli membeli jaminan wang, ia dikira pertukaran matawang dengan matawang sama (RM kepada RM).

Ketika itu, ia sepatutnya menuruti syarat ditetapkan Rasulullah SAW iaitu serah terima dan jumlah sama.

Bagaimanapun, hal ini tentu tidak berlaku kerana:
a) Si pembeli (pencarum) meletakkan wangnya hari ini, dan jumlah tertentu dan jaminan itu pula hanya akan diberi kemudian. Ini menyebabkan ulama menganggapnya Riba Nasi’ah.

b) Si pembeli juga tidak tahu berapakah nilai jaminan yang bakal diperolehnya. Walaupun nilainya dinyatakan dalam skim insurans ini, syarat akad jual beli memerlukan si pembeli mengetahui dengan tepat berapa nilai yang akan diperolehnya.

Sudah tentu ini tidak akan dapat diberitahu oleh syarikat kerana musibah belum berlaku. Justeru, di sini pula ia dianggap ‘Gharar’. Malah gharar juga di sudut pembeli yang tidak pasti adakah tahun itu ia akan berlaku kemalangan dan memperoleh benda yang dibelinya.

c) Ia dianggap judi pula kerana mempunyai elemen pertaruhan, iaitu meletakkan sejumlah wang bagi memperoleh sesuatu yang tidak pasti, dengan risiko wang yang diletakkan hangus atau tidak dikembalikan.

Pengharaman insurans konvensional disepakati ulama, antaranya As-Syeikh Al- Allamah Muhd Amin Ibn Abidin (1836), As-Syeikh Al- Imam Muhd Abu Zuhrah (meninggal dunia pada 1972, Prof Syari’ah di Universiti Kaherah, dianggap ulama terulung dalam Ilmu Fiqh), termasuk As-Syeikh Prof Dr Yusoff al-Qaradhawi.

Perlu diingatkan bahawa beberapa Nadwah, Muktamar dan mesyuarat yang menggabungkan ulama terulung seluruh dunia sudah beberapa kali diadakan. Di mana, mereka juga membincangkan mengenai kontrak insurans yang banyak diguna pakai pada masa kini.

Muktamar Agung Berkenaan Ekonomi Islam bersidang kali pertama pada 1976 di Makkah, di mana hasil keputusan mereka ialah insurans jenis perniagaan atau konvensional adalah haram. Sebab utamanya adalah ia mempunyai unsur riba dan Gharar.

Selain itu, Majlis Kesatuan Ulama Besar bermesyuarat pada 1977 di Arab Saudi turut menyatakan insurans jenis perniagaan adalah haram.

Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia (Majma’ al-Fiqh al-Islami) yang bersidang lagi pada 28 Disember 1985 di Jeddah juga, memutuskan sekali lagi pengharaman insurans jenis perniagaan.

Majma’ Fiqh juga secara nyata mengharuskan insurans jenis kerjasama (ta’awuni) atau TAKAFUL dan mencadangkannya sebagai alternatif insurans perniagaan dan lebih digalakkan.

Thursday, December 9, 2010

Setiap hari baca al-Quran

Al-Quran adalah kitab yang penuh hikmah dan petunjuk untuk seluruh umat manusia. Ia juga adalah mukjizat yang dijamin terpelihara sehingga hari kiamat.
"Keajaibannya tidak pernah berakhir dan sangat sesuai untuk segala tempat dan waktu," demikian kata seorang bekas diplomat Jerman, Dr. Murad Willfried Hofmann.
Justeru, Hofmann, 79, tidak pernah berhenti membaca al-Quran kerana baginya kitab suci itu selalu memberikannya jawapan-jawapan yang sempurna.
Beliau adalah pemenang Anugerah Personaliti Islam Terbaik Tahun 2009 yang disampaikan di Majlis Penghargaan Kitab Suci al-Quran Antarabangsa Dubai (DIHQA) tahun lalu.
Bagi Hofmann anugerah yang diterima itu adalah penghargaan dan penghormatan yang sangat tinggi bagi dirinya dan seluruh Muslim di Eropah dan dunia Barat.
"Ini merupakan isyarat baik bagi lebih 30 juta umat Islam di Eropah. Hal seperti ini membuktikan bahwa Muslim di seluruh dunia adalah satu bangsa," katanya mengenai anugerah yang diterima pada 10 September 2009 itu.
Hofmann dilahirkan dalam keluarga katolik di Aschaffenburg Jerman pada tahun 1931. Setelah lulus dari Union College di New York, beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti Munich, Jerman sehingga ke tahap doktor falsafah dalam bidang undang- undang pada tahun 1957. Ini diikuti pada tahun 1960, Hofmann mendapat gelaran LL.M dari Universiti Harvard.
Dalam aspek kerjaya terutamanya dari tahun 1983 hingga 1987 beliau merupakan Pengarah Informasi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussel, Belgium.
Ini diikuti sebagai Duta Besar Jerman di Algeria pada tahun 1987 dan pada tahun 1990 beliau berpindah ke Maghribi sebagai Duta Besar Jerman untuk tempoh empat tahun.
Buat pertama kali hatinya tersentuh terhadap Islam ketika bertugas sebagai atase di kedutaan Jerman di Algeria pada tahun 1961. Ketika itu sedang berlaku perang gerila antara tentera Perancis dengan tentera Algeria, Algerian National Front (ANF) yang berjuang untuk kemerdekaan negara itu.
Beliau menyaksikan sendiri kekejaman dan pembantaian massa yang dialami oleh rakyat Algeria.
Menurutnya, setiap hari hampir berpuluh penduduk dibunuh dari jarak dekat, hanya kerana mereka berbangsa Arab atau kerana berbicara mengenai tuntutan kemerdekaan.
"Saya menyaksikan kesabaran dan ketabahan penduduk Algeria yang menghadapi penderitaan yang sangat ekstrem. Kepatuhan mereka yang tinggi selama bulan Ramadan, keyakinan diri bahwa mereka pasti merdeka dan juga rasa perikemanusiaan mereka di tengah penderitaan yang dialaminya sendiri.
"Saya selalu penasaran bagaimana penduduk Algeria masih begitu disiplin, meskipun mereka menderita lalu saya temui bahawa agama merekalah, iaitu Islam yang menjadikan mereka kuat seperti itu.
"Kerana itu, saya lantas membaca kitab suci mereka, al-Quran yang sehingga kini saya tidak pernah berhenti membacanya," tambah Hofmann.
Pertanyaan lain yang selalu bermain difikirannya, bagaimana tuhan berkomunikasi dengan manusia bagi membolehkan manusia itu dapat dibimbing oleh-Nya.
Ini membuat beliau mengakui perlu adanya wahyu. Tetapi manakah yang lebih benar, kitab suci Yahudi, Kristian atau Islam?
Lalu yang dipilih dengan tepat oleh Hofmann adalah wahyu Islam berupa kata-kata Allah yang terkandung dalam kitab suci al-Quran.
"Ini kerana seorang Muslim yang hidup di dunia ini tanpa perlu ada pendita dan tanpa hierarki keagamaan. Ketika berdoa, mereka tidak berdoa melalui sesiapa kecuali dirinya sendiri bersemuka terus kepada tuhan sebagai seorang umat yang benar-benar bebas untuk berhubung terus dengan tuhan.
"Dan ini adalah agama yang bebas dari misteri," katanya yang memeluk Islam pada 25 September 1980.

Wednesday, December 1, 2010

Pedoman: Banyak pahala ibadat tapi muflis di akhirat

SABDA Rasulullah SAW: “Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi ketika di dunia, mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang dizalimi akan menerima pahala amal si penzalim.
“Jika pahala amalnya habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya ketika di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa ada golongan yang menjadi muflis di akhirat dan mereka sebenarnya orang yang memiliki pahala, seperti pahala solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

Namun, semua pahala ibadat mereka habis kerana digunakan sebagai membayar ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati atau dizalimi, selain dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi.


Alangkah ruginya golongan muflis ini kerana walaupun mempunyai pahala kerana mengerjakan ibadat dan bermacam kebaikan, akhirnya menjadi kosong kerana diambil oleh orang lain sebagai ganti rugi dengan sebab kesalahan terhadap orang lain atau kezaliman yang dilakukan.

Sebagai seorang yang mengaku Islam, kita harus bijak melayarkan kehidupan berdasarkan petunjuk dan panduan hadis serta al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Infitaar, ayat 10 dan 11 yang bermaksud: “Padahal sesungguhnya, ada malaikat- malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu).”

Bagaimanapun, persoalannya pada hari ini, ada di kalangan kita yang kaya di dunia tetapi tidak bersedia untuk menghindari muflis di akhirat. Mereka menikmati pelbagai kemewahan kurniaan Allah SWT di dunia tetapi tidak bersyukur dan mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah SWT dan mengkhianati amanah sesama manusia.

Dalam mengejar kemewahan, mereka lupa solat, zakat, menunaikan haji dan sebagainya kerana sibuk dengan pelbagai urusan duniawi.

Selain itu, mereka tidak prihatin kepada hak sesama manusia, hak golongan fakir, miskin dan anak yatim.

Malah ada di kalangan kita menzalimi sesama manusia dan ketahuilah bahawa gaya hidup sedemikian akan menjadikan mereka muflis di akhirat.

Dalam kehidupan sehari- hari kita perlu berhati-hati supaya tidak melakukan dosa, terutama dosa sesama manusia.

Perlu difahami bahawa kehidupan di akhirat lebih perlu diutamakan kerana ia kehidupan yang kekal abadi. Kesejahteraan di akhirat memerlukan persiapan dan usaha yang lebih terancang dan konsisten.

Oleh itu, sebelum menjadi ‘muflis’ di akhirat, sama-sama kita menghitung diri kita, adakah sudah berada dalam gaya hidup yang diredai Allah atau gaya hidup yang dimurkai Allah.

Andainya kita dalam keredaan-Nya, kita pertingkat dan gandakan lagi supaya ia lebih mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT.

Andainya kita menderhaka kepada Allah, segeralah bertaubat dan kembali ke jalan Allah, mudah-mudahan kita diampuni Allah dan dilimpahi kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 133 yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”

WWW.LISTEN2QURAN.COM